Tuesday, April 22, 2008

Earth Day

Today is Earth Day !! Lets celebrate it by showing our love and care for this planet we call home. What can we do to make a difference ? visit : http://www.epa.gov/earthday/


Politik Ternakan Babi

PENULIS : Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang (Berita Harian, 16 April 2008)

Sudah sekian lama isu ladang ternakan babi menjadi polemik dalam masyarakat Malaysia. Polemik ini menjadi sensitif dengan adanya pengaruh politik dan sentimen agama. Sejak kebelakangan ini, faktor alam sekitar dan keharmonian kaum pula memanaskan keadaan.

Secara umumnya, ladang ternakan babi merupakan keperluan untuk membekalkan makanan kepada orang bukan Islam, khususnya kaum Cina. Sejak sekian lama ternakan babi sinonim dengan penempatan kaum Cina di luar bandar. Biasanya babi diternak secara kecil-kecilan untuk keperluan keluarga dan selebihnya dijual ketika musim perayaan. Hal sama dilakukan orang Melayu luar bandar yang juga menternak kerbau, lembu, kambing, ayam dan itik secara kecil-kecilan.

Namun demikian, keadaan berubah sejak kira-kira 20 tahun lalu. Penternakan babi tidak lagi dijalankan secara kecil-kecilan tetapi berkembang menjadi industri penting membekalkan makanan keperluan penduduk tempatan. Hal ini digiatkan lagi apabila Singapura mengenakan peraturan alam sekitar sangat ketat terhadap aktiviti ternakan babi di negara tersebut. Akibatnya banyak pengusaha industri babi dari Singapura memindahkan ladang dengan melabur di Malaysia. Dari segi ekonomi, pelaburan tersebut memang menguntungkan. Itulah sebabnya keluasan ladang dan jumlah babi agak ketara di Johor, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Selangor berbanding 30 tahun lalu.

Sebagai contoh, menurut laman web rasmi Jabatan Perkhidmatan Haiwan Perak (http://www.jphpk.gov.my), jumlah babi di Selangor 391,200 pada tahun 1996 dan 264,510 pada 2007. Di Perak 566,520 (1996) kepada 489,090 (2007), Pulau Pinang 274,340 (1996) kepada 296,230 (2007) dan Johor 361,980 (1996) kepada 294,810 (2007) dan Melaka 168,450 kepada 150,870 (2007). Tiada ternakan babi didaftarkan di Trengganu. Sementara itu, jumlah babi didaftarkan di Negeri Sembilan menurun dengan mendadak dari 659,730 (1996) kepada 1910 (1999) selepas peristiwa wabak penyakit akibat virus Japanese Encephalitis dan virus Nipah di Bukit Pelanduk. Pada tahun 2007 hanya 1200 babi diternak di Negeri Sembilan.

Menyedari realiti tersebut, banyak inisatif dilakukan untuk memastikan aktiviti ternakan babi dijalankan dengan sempurna bagi mengurangkan risiko kesihatan awam, pencemaran alam sekitar dan sensitiviti pelbagai pihak. Memang babi menjijikan bagi orang Islam sesuai dengan pengharamannya dalam surah Al-Baqarah ayat 173. Hukumnya najis muhalazah, iaitu najis berat yang bukan sahaja perlu disamak jika bersentuhan bahkan sinonim dengan hal terlarang sama ada diternak, dijual apatah lagi dimakan.

Pengharaman tersebut mewarnai perspektif orang Islam dalam konteks politik ladang ternakan babi. Sehubungan itu setiap pihak, sama ada dari parti UMNO, PKR apatah lagi PAS memang berhati-hati menangani isu berkaitan babi. Dalam hal ini, prinsip Islam jelas bahawa orang bukan Islam diharuskan menternak babi untuk keperluan makanan dan ekonomi mereka. Hal ini sesuai dengan sifat toleransi Islam terhadap orang bukan Islam dan dasar negara mengutamakan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama.

Pada hemat saya, isu utama penternakan babi, khususnya dalam konteks di Kuala Langat dan Sepang, merangkumi tiga dimensi. Pertama, sensitiviti agama dan kaum. Sebagaimana ketetapan ajaran Islam, orang Islam tidak boleh menghalang orang bukan Islam untuk menternak babi. Namun demikian ladang ternakan tersebut mestilah tidak menganggu penduduk sekitarnya apatah lagi orang Islam yang taboo dengan apa sahaja berkaitan babi.

Kedua, keperluan orang bukan Islam untuk menternak babi secara sah, teratur dan terancang di lokasi sesuai. Pada tahun 2006, terdapat kira-kira 900 ladang menempatkan 1.8 juta ekor babi. Jumlah ini jauh kecil berbanding Thailand dengan 11.5 juta. Di Selangor sahaja, seluas 440 hektar ladang babi berselerak di banyak tempat. Sebahagian besar aktiviti ternakan tersebut dijalankan di atas tanah yang tidak jelas statusnya. Malah banyak ladang babi tidak didaftarkan. Hal ini mudah difahami kerana pihak berkuasa tempatan menghadapi kesukaran untuk meluluskan ladang ternakan babi yang diusahakan secara kecil-kecilan, apatah lagi jika tidak dilengkapkan dengan kemudahan dan teknologi mesra alam. Akhirnya ladang-ladang tersebut terus berkembang dan penguatkuasaan undang-undang tidak dijalankan sebaiknya.

Ketiga, permodenan industri penternakan babi tidak mesra alam disebabkan ketidakpastian dari segi status tanah dan perniagaan. Tidak ada penternak yang berani melabur beratus juta ringgit jika pihak kerajaan tidak memberi kepastian dari segi lesen dan status tanah. Inilah sebabnya teknologi pelupusan buangan ladang ternakan babi masih menggunakan kaedah lama yang tidak mesra alam, iaitu kolam penstabilan sisa (WSP). Sebagai alternatif, banyak teknologi baru dikembangkan dengan konsep kaedah sifar buangan (zero discharge). Menerusi konsep ini, semua bahan buangan akan dirawat menggunakan teknologi reaktor anaerobik tertutup yang dapat mengurangkan masalah bau dan lalat, menghasilkan biogas dan enap cemar yang boleh dijadikan kompos. Teknologi ini sudah digunakan dengan meluas di banyak negara maju, malah di Thailand dan Taiwán.

Pada hemat saya, kita mempunyai lima pilihan untuk menangani masalah penternakan babi di Malaysia:

1) mengharamkan semua aktiviti ternakan babi dengan alasan sensitiviti orang Islam-Melayu dan pencemaran alam sekitar.

2) membiarkan keadaan kini berterusan dengan alasan kita masih belum ada penyelesaian yang disepakati. Ini bermakna penduduk di Kuala Langat dan Sepang akan terus mengalamai masalah bau busuk, lalat dan pencemaran sungai dan persisir pantai.

3) mengarahkan semua pemilik ladang ternakan babi menggunakan teknologi sifar buangan dengan alasan mematuhi peraturan alam sekitar. Persoalannya kebanyakan aktiviti penternakan babi tidak mendapat lesen dan premis didaftarkan secara sah. Dalam keadaan ini, Jabatan Alam Sekitar tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan syarat-syarat yang diperuntukan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Buangan Industri dan Kumbahan).

4) membina ladang ternakan babi moden mengikut zon dalam sesebuah negeri dengan alasan ladang ternakan yang tidak terlalu besar mengurangkan risiko kesihatan awam dan alam sekitar, sekaligus mengambilkira sensitiviti orang Islam. Persoalannya, apakah pihak pelabur bersedia berbelanja besar dengan pulangan terhad?

5) membina ladang ternakan berpusat dengan alasan memudahkan operasi, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang sebagaimana yang dicadangkan Kerajaan Selangor minggu lalu.

Kelima-lima pilihan ini perlu dikaji segera. Semakin ditanggung semakin mencemarkan alam sekitar, bahkan mengugat keharmonian kaum. Sehubungan itu dasar jelas perlu diputuskan, disusuli tindakan dan perlaksanaan sewajarnya.

Realiti politik memang perlu ditangani tetapi semua pihak sebenarnya mendapat manfaat jika isu penternakan babi dapat diselesaikan dengan teratur, terancang dan mesra alam. Barisan Nasional sebenarnya mendapat pulangan paling besar kerana perancangan ladang ternakan berpusat dilakukan sejak lebih lima tahun lalu bukan sahaja di peringkat kerajaan pusat bahkan di peringkat negeri. Kerajaan Selangor pula terpaksa melaksanakan perancangan lalu. Yang jelas rakyat akan mendapat manfaat dengan industri penternakan babi yang melambangkan status minda kelas pertama yang dijalankan secara kompetitif, berdaya maju, menjaga sensitiviti semua pihak, bersih dan mesra alam.

Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Teknologi Malaysia, dan Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia.